spot_img
HomeSemasaRM29,550 lesap diperdaya Macau Scam

RM29,550 lesap diperdaya Macau Scam

KUANTAN: Seorang warga emas di Kerdau, Temerloh kerugian RM29,550 apabila wang simpanan lesap ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai kanan polis dan kakitangan Pos Laju.

Mangsa berusia 76 tahun diperdaya melalui panggilan telefon mendakwa dia terbabit dengan pengubahan wang haram dan akan ditahan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula pada Ahad lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu mendakwa kakitangan Pos Laju.

“Suspek mendakwa terdapat bungkusan yang tidak dituntut atas nama warga emas itu sebelum menyambung panggilan itu kepada ‘ASP Mokhtar’.

“Suspek kedua ini bertanyakan kepada mangsa berkenaan wang yang ada dalam simpanannya yang mana jika warga emas itu tidak memberi kerjasama, akaun mangsa akan dibekukan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek meminta mangsa memasukkan wang simpanannya ke dalam satu akaun lain kononnya untuk tujuan siasatan.

“Mangsa kemudiannya mengeluarkan semua wang di dalam akaunnya dan memasukkan ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek.

“Suspek juga meminta mangsa merahsiakan hal itu dan berjanji wang itu akan dikembalikan,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan mangsa kerugian RM29,550 sebelum menyedari ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

“Kes siasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

-BH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular