KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dilantik sebagai penasihat Kejohanan Bolasepak Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin (Piala BMR).
Penolong Setiausaha Agung SAFA yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Azman Mastar berkata, Lajim sudah menyatakan persetujuannya mengenai peranan yang diberikan kepadanya itu.
“Selaku penasihat dan AMT SAFA, Lajim akan berperanan untuk memantau penggendalian pertandingan tersebut”
“Kita yakin kehadiran beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sudah tentu dapat membantu dan menyumbang buah fikiran bagi memastikan penganjuran kejohanan berjalan dengan baik,” katanya.
Jelas Azman lagi, perlawanan akhir Piala BMR besar kemungkinan akan diadakan pada bulan depan.
“Setelah mendapat kebenaran pihak berkuasa. Setakat ini sebanyak tujuh zon sudah mengesahkan layak ke grand final kejohanan itu kecuali zon pantai timur selatan”, Azman berkata demikian selepas menyerahkan dokumen pertandingan Piala BMR itu kepada Lajim di pejabat SAFA, baru-baru ini. Turut hadir Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom.
Sementara itu, Lajim mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada SAFA atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk menjadi penasihat kejohanan itu.
“Kejohanan Piala BMR itu penting sebagai landasan untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam sukan bolasepak memandangkan ia membabitkan pemain-pemain berumur bawah 18 tahun dari seluruh daerah” katanya.
Beliau berharap pertandingan itu dapat disambung semula sebaik sahaja mendapat kebenaran pihak kerajaan. – Utusan Borneo


