KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak mempunyai halangan kepada badan-badan bukan kerajaan atau individu ingin menyampaikan bantuan kepada Pendatang Tanpa Izin (PTI) khususnya mereka yang mengibarkan bendera putih.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pihak Kerajaan Negeri pada dasarnya hanya memberikan bantuan kepada rakyat yang berstatus warganegara sahaja.
“Namun sekiranya ada badan-badan NGO dan orang awam memberi bantuan kepada PTI, pihak kerajaan negeri tidak mempunyai halangan.
“Ia berikutan merujukan kepada satu laporan berita bertajuk ‘Semakin Ramai PTI Turut Pasang Bendera Putih’ terbitan sebuah akhbar tempatan bertarikh 15 Julai 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, Jabatan Imigresin di sini telah melakukan pemantauan di kawasan yang dimaksudkan mendapati masih terdapat sejumlah tujuh bendera bewarna putih yang diikat bersama papan dan keratan kotak tertera nombor telefon.
Katanya, ianya diserta nama yang isi kandungan tulisan pada papan dan kotak itu berupa memohon bantuan makanan daripada orang ramai.
“Tindakan telah diambil dengan menghubungi nombor telefon yang berkenaan, yang mendapati pemilik nombor telefon itu terdiri daripada tujuh keluarga dari kalangan wanita warganegara Filipina.
“Mereka berusia dalam lingkungan 50 tahun yang dianggarkan seramai enam sehingga sembilan orang serta kanak-kanak berumur lingkungan satu tahun dalam setiap rumah yang disyaki tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah menetap di kawasan setinggan Bukit Bantayan Kiansom, Inanam,” katanya.
Menurutnya, siasatan melalui perbualan telefon itu juga mendapati mereka tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi berikutan sumber pendapatan adalah bergantung sepenuhnya dengan suami yang kini berada di daerah Kota Belud yang difahamkankan bekerja.
Katanya, sekatan perjalanan antara daerah dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini menyebabkan halangan untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing sekali gus menyebabkan berlakukanya keadaan sedemikian.
Dalam pada itu katanya, terdapat satu kluster baharu direkodkan pada 16 Julai 2021 yang melibatkan klinik swasta.
“Kluster Pekan Ranau melibatkan jangkitan yang disyaki bermula di sebuah klinik swasta sebelum menular kepada para pelanggannya.
“Kluster tempat kerja ini dikesan oleh klinik berkenaan melalui saringan bergejala apabila dua orang staf yang disahkan positif COVID-19 pada 10 Julai 2021,” katanya.
Sementara itu katanya, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada 16 Julai 2021 adalah sebanyak 326 kes dengan tiga kes kematian dilaporkan satu kes di Kota Kinabalu, Kalabakan dan Semporna.-utusan borneo


