spot_img
HomeSemasaTaman Awam Teluk Likas boleh dikunjungi mulai Ahad ini

Taman Awam Teluk Likas boleh dikunjungi mulai Ahad ini

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) membenarkan pembukaan Taman Awam Teluk Likas dan boleh dikunjungi orang ramai mulai Ahad ini bersamaan 18 Julai.

Pembukaan semula taman ini dilaksanakan selepas Taman Ujana Rimba Tropika dan Taman Tun Fuad Stephens dibuka kepada orang ramai bermula 13 Julai lalu.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Noorliza Awang Alip berkata untuk permulaan had kapasiti kemasukan ke taman ini adalah berdasarkan ‘carrying capacity’ kawasan trek yang diminimakan atas pertimbangan terhadap faktor kesihatan awam.

“Had kapasiti kemasukan ini akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa berdasarkan tahap pematuhan yang ditunjukkan pengguna taman awam tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya had kapasiti bagi kemasukan orang ramai ke Taman Awam Teluk Likas ditetapkan kepada 200 orang bagi setiap dua jam masa penggunaan bermula dari Lampu Trafik Peak Condo ke Jambatan Yayasan Sabah.

“Masa pembukaan taman adalah bermula seawal jam 6.00 sehingga 10.00 pagi yang akan dibuka kepada dua sesi manakala sesi petang hanya dibuka bermula pada jam 4.00 sehingga 6.00 petang iaitu hanya satu sesi sahaja.

“Tiada sebarang aktiviti atau individu dibenarkan berada di taman ini selain dari masa yang ditetapkan itu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata pembukaan taman ini adalah terhad kepada aktiviti berjogging, zumba dan senamrobik sahaja dengan tidak melebihi 10 orang dalam satu masa.

“Aktiviti secara berkumpulan termasuk berkelah, berhimpun untuk keraian dan sukan berpasukan adalah dilarang pada masa ini.

“Penggunaan fasiliti lain seperti alat permainan kanak-kanak dan alat senam masih lagi ditutup sebagai langkah keselamatan.

“Aktiviti berbasikal juga tidak dibenarkan di taman ini, bagaimanapun aktiviti terbabit dibenarkan di Taman Cycleway Phase 3 bersebelahan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS),” katanya.

Menurutnya pengunjung perlulah bertanggungjawab menjaga kesihatan dan keselamatan diri serta sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang berada di taman ini.

“Sentiasa membaw telefon pintar berikutan pengunjung dikehendaki mengimbas kod QR MySejahtera untuk mendaftar di setiap pintu masuk bagi tujuan merekod kemasukan di kaunter pendaftaran taman.

“Pengunjung diingatkan untuk sentiasa menjaga penjarakan fizikal dan kebersihan kendiri ketika berkunjung ke taman ini, mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan ini boleh

didakwa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.-Utusan Borneo

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular