TAWAU: Polis sedang memburu tiga banduan warga asing yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Dewan Arena, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, banduan tersebut dikesan mengumpil geriji besi pada tandas sebelum melompat pagar Dewan Arena dan melarikan diri.
Suspek, Jimnajir Annor,23, Niko Matheus, 25, dan Hasyim Muhamamad Syata,34, yang sedang menjalani hukuman dimasukkan ke PKRC berkenaan selepas disahkan positif bagi tujuan kuarantin dan pengasingan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, usaha mengesan semua suspek sedang giat dilakukan dengan melancarkan Op Tutup dan Op Kesan.
“Kita telah mengadakan sekatan jalan raya (SJR) dibeberapa kawasan dan menubuhkan pasukan sebagai pengesanan termasuk daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Unit Kereta Peronda (MPV)
“Selain SJR, kawalan dan pemeriksaan turut dilakukan di sempadan daerah termasuk Pusat Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ),” katanya menerusi sidang media, di sini hari ini.
PERIKSA: Peter turut membuat pemeriksaan dan menyebar gambar suspek kepada pengguna jalan raya.
Peter berkata, orang ramai diminta untuk membantu polis memberikan maklumat atau menghubungi balai polis berdekatan sekiranya mengetahui keberadaan suspek.
“Pihak polis juga sudah menyebarkan gambar ketiga-tiga suspek dan menyeru orang ramai supaya berwaspada memandangkan banduan tersebut positif COVID-19 dan sedang menjalani rawatan
“Kami percaya kesemua suspek masih berada di daerah Tawau, sebab itu usaha mengesan giat dilakukan,” katanya.
Terdahulu, mereka antara 16 banduan dan tahanan yang ditempatkan di PKRC berkenaan selepas disahkan positif COVID-19 bagi tujuan pengasingan dan rawatan.-utusan borneo