KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menambah keperluan peralatan perubatan dan tenaga kerja ke Sabah bagi menangani trend peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negeri ini.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 480 unit silinder oksigen, 24 kotak regulator oksigen dan lima kotak ubat-ubatan COVID-19 akan dihantar esok menggunakan pengangkutan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, dalam masa terdekat, KKM akan menyediakan modular Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan kapasiti 10 katil ICU di Hospital Tawau. Operasi modular ICU berkenaan dijangka bermula hujung September ini.
“Buat masa ini, kapasiti penggunaan ICU di Sabah berada pada tahap 90 peratus dengan kapasiti alat bantuan pernafasan sebanyak 46 peratus.
“”Kita akan berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) soal unjuran untuk Sabah bagi tempoh beberapa minggu akan datang.Â
 “Ini bagi memastikan kapasiti ICU dan keperluan oksigen di semua hospital di Sabah mencukupi dan tidak menjadi masalah kepada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor selepas mengadakan Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Peringkat Negeri Sabah di Menara Kinabalu di sini hari ini.Â
Khairy berkata, KKM turut memperuntukkan sebanyak 29 ambulans tambahan untuk keperluan hospital-hospital di Sabah dan jumlah bilangan ambulan akan dipertingkatkan melalui kaedah penyewaan, sementara menunggu proses perolehan ambulans selesai mengikut tatacara perolehan semasa.
Katanya, bagi memastikan penggunaan sumber manusia yang optimum di semua fasiliti kesihatan KKM termasuklah di lapangan, sejumlah 97 daripada 150 pegawai lantikan tetap diarahkan melapor diri di Sabah pada 2 Ogos dan 1 September 2021.
“Selain itu, seramai 50 pegawai perubatan tambahan akan ditawarkan pelantikan tetap bermula 13 September ini.Â
“KKM juga akan memastikan seramai 78 penolong pegawai perubatan yang dimobilisasi ke Selangor sebelum ini akan dipulangkan ke Sabah dan melapor diri selewat-lewatnya akhir minggu ini,” jelasnya.
Menurutnya, setakat 2 September lepas, fasiliti dan kapasiti untuk merawat pesakit COVID-19 di negeri ini membabitkan 27 hospital COVID dengan kapasiti 151 katil ICU dan 1,743 katil bukan ICU.
Beliau berkata, sebanyak 31 Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) awam dan empat PKRC tahanan dengan kapasiti 7,143 katil.
Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Shahelmey Yahya; Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah; dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr. Rose Nani Mudin.-utusan borneo