KUALA LUMPUR : Jurulatih skuad hoki Sabah, Hasrul Jideh ketika dihubungi berkata, pasukan muda Sabah bermain sangat baik dan yakin ketika menentang PDRM semalam.
Namun berlaku kesilapan mudah pertahanan Sabah menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada pihak lawan. Kedua-dua gol terhasil oleh Baljit bekas pemain kebangsaan.
Walaupun tewas 2-1, Hasrul memberi pujian kepada semua pemainnya yang menunjukkan prestasi sangat baik. Mereka sangat yakin untuk bermain, berusaha mencuba pelbagai sistem dan formasi baru untuk kejohanan SUKMA nanti.
“Pemain termuda berumur 15 tahun mewakili Sabah di kejohanan TNB Tun Abdul Razak Cup ini. Kebanyakan pemain bawah 19 tahun, seramai 14 orang daripada 18 orang pemain dan kejohanan ini kategori terbuka yang melibatkan bekas pemain dan pemain kebangsaan,” tambahnya lagi.
Beliau berharap agar skuad bawah kendaliannya itu menjadikan kejohanan tersebut sebagai landasan dan pengalaman untuk menyertai kejohanan MJHL (Liga Remaja) yang akan bermula pada 11-31 Disember 2021 dan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun hadapan.