spot_img
HomeJenayahCekik OKU hingga mati, tiga lelaki termasuk dua beranak didakwa membunuh

Cekik OKU hingga mati, tiga lelaki termasuk dua beranak didakwa membunuh

Ipoh: Tiga lelaki termasuk dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan tindakan membunuh seorang lelaki OKU pada 25 November lalu.

Ramli Lot, 60, dan anaknya Ismail Rizwan, 34 dengan seorang lagi lelaki, Mohd Fuzi Ab Manaf, 47, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nor Azrin Liyana Mohd Darus.

Mereka bakal didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mohd Hakim Hamran selaku wakil peguam kepada tertuduh menyatakan Ramli pernah didiagnosis menghidap tekanan perasaan dan gangguan emosi, selain pernah menjalani pembedahan membuang tumor di kepala pada tahun 2013.

Katanya, tertuduh sepatutnya menghadiri temujanji menjalani prosedur imbasan pengimejan magnetik resonan (MRI) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), pada 27 Disember ini.

Susulan itu, Mahkamah Majistret menetapkan sebut semula kes pada 3 Januari tahun depan bagi memberi peluang kepada tertuduh untuk mendapatkan pemeriksaan bedah siasat dan mental.

Terdahulu, ketiga tertuduh ditahan atas kes pembunuhan Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, yang meninggal dunia di tempat kejadian selepas lehernya dicekik di hadapan sebuah warung pasar pagi di Flat Ashby Road, 25 November lalu.

Saksi kejadian, Mior Faridalathrash berkata, kejadian tersebut bermula dengan pergaduhan selepas suspek dikatakan tidak berpuas hati kerana mangsa mencuri pembesar suara mudah alih milik salah seorang daripada mereka sehingga akhirnya membawa pergelutan berhujung maut.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular