KOTA KINABALU : Pengumuman tentang penubuhan syarikat minyak dan gas kerajaan Sabah yang dikenali sebagai SMJ Petroleum Sdn Bhd oleh Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor merupakan satu kejayaan yang bersejarah bagi pembangunan negeri Sabah.
Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai antara kerajaan negeri dan PETRONAS sejak 16 Jun 1976 akhirnya membuahkan hasil.
Hajiji menjelaskan bahawa majlis menandatangani CCA hari ini menandakan bermulanya era baharu bagi negeri Sabah dalam industri gas dan minyak.
Perjanjian yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong selaku wakil kerajaan negeri dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz selaku wakil bagi pihak PETRONAS yang juga disaksikan oleh majlis iaitu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun, Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Ir Mohamed Firouz Asnan membuktikan rasminya penubuhan syarikat sendiri kerajaan yang akan menjadi takuk peluang baru untuk kemajuan negeri Sabah.
“Saya gembira membuat pengumuman tentang kejayaan penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd dimana syarikat ini akan menerajui penyertaan komersial negeri dalam industri minyak dan gas serta menyelaras semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sedia ada bagi memastikan terma dan syarat CCA dilaksanakan untuk kepentingan Sabah dan rakyatnya,” katanya.
Jawatankuasa bersama yang ditubuhkan oleh Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) baru-baru ini bertujuan untuk membahas isu berkenaan dengan pembabitan Sabah secara komersial dalam industri minyak dan gas antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan PETRONAS.
“Daripada kesatuan ini, kita boleh melihat bahawa kerjasama antara kerajaan negeri dan PETRONAS dapat menjadi tunjang untuk membangun industri minyak dan gas di Sabah. Komitmen daripada dua pihak memudahkan lagi titik pencapaian persamaan yang ditetapkan dalam CCA,” tambahnya lagi.
Datuk Hajiji juga menyatakan bahawa Sabah dibolehkan untuk menyertai perkongsian hasil yang lebih besar dalam industri minyak dan gas dalam usaha untuk mengekalkan hak perundangannya. Kerajaan turut memberi jaminan bahawa CCA akan mewujudkan persekitaran yang memberi kemudahan kepada industri minyak dan gas di Sabah termasuk kawasan luar pesisir dan darat.
Akhir kata, beliau berharap pembangunan syarikat ini akan memberi peluang kepada kerajaan dan rakyat untuk mendapat hasil sama rata sekaligus dengan bimbingan PETRONAS, Sabah boleh menjadi negeri yang terlibat secara kukuh dalam industri minyak dan gas yang akan menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan ekonomi negeri Sabah.