Petaling jaya: Bermula Februari 2022, pengguna dimaklumkan bersiap sedia berikutan pembukaan semula caj RM1 yang dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atau mesin layan diri bukan CIMB Bank/CIMB Islamic.
Menerusi kenyataan CIMB Malaysia di laman rasmi mereka hari ini, para pengguna boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM atau mesin layan diri milik CIMB.
“Berkuatkuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di mesin ATM/mesin layan diri bukan CIMB Bank/CIMB Islamic.”
“Anda masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di mesin ATM/mesin layan diri kami”
Selain CIMB, beberapa bank lain seperti Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, RHB Bank dan Citibank turut memaklumkan mengenai pelaksanaan caj berkenaan.
Sebelum ini, caj RM1 yang dikenakan kepada pengguna setiap kali melakukan pengeluaran wang dari mesin ATM dari bank berlainan telah digantung sementara waktu bagi memudahkan pengguna yang dikekang pergerakan akibat pandemik.
Inisiatif tersebut membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa PKP tanpa perlu dikenakan caj RM1.