KOTA KINABALU: Seramai 20 individu membabitkan ahli kleuarga dan rakan sekerja Labuk Batu 7 dijangkiti COVID-19 serta mencetuskan kluster baharu yang melibatkan pekerja di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Sandakan.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata kluster yang dikenalpasti di Sandakan kelmarin itu adalah kluster yang membabitkan golongan pekerja.
“Kes indeks adalah lelaki tempatan yang telah mengalami gejala demam, batuk dan selesema pada 09 Disember 2021, disahkan positif dengan grading 97% melalui RTK Antigen COVID-19 di klinik swasta.
“Siasatan lanjut mendapati 19 lagi kes positif terdiri daripada ahli keluarga serta rakan sekerja kepada kes indeks.
“Jumlah kes kumulatif dalam kluster ini adalah 20 kes termasuk tiga (3) kes baharu dilaporkan pada hari ini. Premis telah ditutup sementara untuk disinfeksi dan semua pesakit telah diasingkan dan diberi rawatan yang sesuai,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata meskipun jumlah kes baharu mencatatakan penurunan marginal 8 kes berbanding sebelumnya, Sabah kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.
“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 224 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 237,759 kes. Tiada kes kematian dilaporkan pada hari ini.
“Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 272 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 228,857 orang. Manakala 971 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 485 orang di hospital, 478 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, enam (6) orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara dan dua (2) orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 42 orang merangkumi 40 di ICU/repurposed kritikal care serta dua (2) di open ward (HDW/kubikel akut) manakala 12 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated). Manakala bilangan pesakit stage empat (4) dan lima (5) yang masih belum lengkap vaksin ialah 34 (29.06%),” katanya.