KOTA KINABALU: Kedudukan COVID-19 di negeri Sabah meneruskan trend menurun dan hari ini jumlah kes harian jatuh di bawah paras 200, penurunan 29 kes berbanding semalam. Jumlah kes terbaru bagi Sabah ialah 195 kes.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi di negeri ini dengan 34 kes, diikuti oleh Tuaran dengan 29 kes, Penampang 18 kes, Ranau 16 kes, Kota Belud 16 kes, Papar 11 kes dan Kuala Penyu 10 kes.
Sebanyak 17 daerah lain mencatatkan kes harian satu (1) angka sahaja dan tidak ada kes baharu di tiga daerah, Putatan, Kunak dan Semporna.
“Daripada 195 orang pesakit baharu hari ini, seramai 187 orang berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, dua orang dalam Kategori 3, juga dua orang dalam Kategori 4 dan seorang dalam Kategori 5. Kes yang melibatkan tiga orang pesakit masih dalam penilaian lanjut JKNS.
“Dengan mengambilkira kedudukan kes COVID-19 di seluruh negara pada 15 Disember 2021, jangkaan kadar kebolehjangkitan atau R0/RT bagi Malaysia ialah 0.92, dan bagi negeri Sabah, 0.84,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II berkata, seluruh daerah di negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 yang tidak statik, dengan jumlah catatan sebanyak (75) kes daripada Saringan Kontak Rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan.
“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 195 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 237,954 kes.
Sebanyak tiga (3) kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu (1) kes di Sandakan, Tambunan dan Ranau.
“Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam. Ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat”
“Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 303 termasuk yang discaj dari hospital/PKRC menjadikan jumlah kumulatif 229,160 orang.
Manakala 947 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 496 orang di hospital, 443 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, enam orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau Penjara dan dua orang di fasiliti swasta,” tambahnya.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 44 orang merangkumi 41 di ICU/repurposed kritikal care serta tiga di open ward (HDW/kubikel akut) manakala 12 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
Manakala bilangan pesakit stage empat (4) dan lima (5) yang masih belum lengkap vaksin ialah 31 (27.19%),” katanya.