spot_img
HomeSemasaKes COVID-19 dijangka meningkat angkara banjir

Kes COVID-19 dijangka meningkat angkara banjir

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan peningkatan kes COVID-19 lantaran bencana banjir, selepas saringan di pusat pemindahan sementara (PPS) merekodkan 181 kes positif.

Hasil saringan sekitar jam 11 pagi tadi mendapati sebanyak 117 kes positif di Selangor, Pahang (52), Kelantan (6), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4) dan masing-masing satu kes di Melaka serta Negeri Sembilan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kebanyakan kes positif terdiri daripada pesakit kategori 1 dan 2, iaitu yang tidak mempunyai gejala atau menunjukkan gejala ringan.

Menurut Khairy, semua individu berkenaan telah dipindahkan ke lokasi tertentu, sama ada hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau kemudahan berkaitan seperti PPS khusus.

“Berikutan kes positif ini, kami mendapati terdapat 206 kontak rapat yang juga akan dipindahkan ke PPS khusus, PKRC, stesen kuarantin atau hospital.

KKM menjangkakan bencana banjir yang berlaku akan menyebabkan peningkatan kes setelah mengambil kira keadaan proses pemindahan yang terpaksa dibuat dalam risiko tinggi.

“Terdapat langkah kesihatan awam yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana keutamaan untuk menyelamatkan mangsa banjir, sehingga menyebabkan ramai yang tidak memakai pelitup muka serta menjaga jarak seperti yang harus dilakukan,” katanya.

Beliau juga menasihati orang ramai untuk sentiasa bersedia dengan risiko kenaikan kes disebabkan bencana banjir ketika ini, selain menambah baik aspek sistem kesihatan awam dan persiapan di semua negeri dalam kenyataannya di sidang media di Parlimen, hari ini.

“Saringan di PPS akan diteruskan agar dapat mengenal pasti mereka yang positif COVID-19 serta kontak rapat bagi tujuan pengasingan di lapangan manakala bekalan penutup muka dan cecair pembasmi kuman akan terus diedarkan ke semua PPS,” katanya dalam sidang media Parlimen hari ini. – Berita Harian

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular