KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengumumkan cuti tempoh bertenang susulan situasi banjir yang melanda beberapa buah negeri di Malaysia bermula hari ini sehingga 25 Disember 2021.
Profesor Dr. Rasid Mail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) berkata, Pengurusan Tertinggi UMS mengambil berat dan prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi pelajar UMS yang terkesan oleh bencana banjir luar biasa tersebut.
“Pengurusan Tertinggi UMS menyedari bencana banjir luar biasa itu telah menjejaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di UMS bagi Semester 1 Sesi 2021/2022.
“Oleh demikian, bagi meringankan serta membantu mengurangkan beban yang dihadapi oleh pelajar terlibat, Pengurusan Tertinggi UMS mengumumkan semua kuliah untuk tempoh Isnin hingga Sabtu pada 20 hingga 25 Disember 2021 adalah ditangguhkan.
Katanya, sepanjang tempoh penangguhan tersebut, tiada sebarang aktiviti kuliah, tutorial, pentaksiran dan tempoh akhir penghantaran tugasan boleh berlaku.
“Para pensyarah boleh menggunakan minggu pertama ulangkaji bermula 24 hingga 28 Januari 2022 bagi tujuan penggantian kuliah dan tutorial,” katanya dalam satu kenyataan.
“Bagi pihak seluruh warga universiti, Pengurusan Tertinggi UMS merakamkan rasa simpati dan mendoakan agar semua pelajar UMS dan keluarga mereka yang terkesan oleh bencana banjir luar biasa agar diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” tambahnya.