Semporna: Sebuah lori Hicom ditahan polis marin, disyaki terbabit dengan aktiviti penyeludupan barang kawalan berhampiran kawasan tapak jualan Jalan Pinggir Bakau Kampung Selamat, Semporna, awal pagi tadi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna, DSP Mohammad Ismail berkata, kegiatan itu berjaya dipatahkan semasa pasukannya sedang menjalankan Op Benteng di kawasan tapak jualan, sehingga terlihat kelibat sebuah lori Hicom yang mencurigakan berhampiran kawasan tersebut.
“Menyedari kehadiran pihak polis, seorang lelaki dewasa, disyaki pemilik lori berkenaan bertindak melarikan diri ke kawasan bakau. Usaha menahan suspek tidak berjaya atas sebab keadaan semak samun dan kawasan sekeliling yang gelap”
Hasil pemeriksaan lanjutan melibatkan rampasan 73 kotak (1,241 kg) minyak masak Cap Daun dan 227 kotak (3,859 kg) minyak masak Cap Rusa Terbang, dianggarkan keseluruhannya berjumlah sebanyak RM97,870.00.
Kesemua minyak masak telah dirampas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan barang kawalan. Rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan selanjutnya dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pasukan Polis Marin W4 Sabah mengalu-alukan komuniti maritim khususnya untuk menyalurkan maklumat atau pun mana-mana kegiatan menyalahi undang-undang ke talian 24 jam atau boleh berhubung terus ke Pusat Komunikasi PPM Sabah melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.