KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor telah mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu Sdn Bhd di Shang-ri La Tanjung Aru semalam.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu.
Menurut Hajiji, mesyuarat kali ini menyaksikan pembayaran dividen interim ketiga yang bernilai RM14.448 juta oleh Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Jansie kepada Kerajaan Negeri selepas pembayaran dividen bagi suku pertama dan kedua tahun 2021 iaitu sebanyak RM10 juta pada September lalu.
Hajiji mengucapkan tahniah kepada Sawit Kinabalu Berhad atas prestasi yang cemerlang selepas berjaya mencatatkan keuntungan yang tertinggi dalam sejarah sejak syarikat ini diperbadankan 25 tahun yang lalu.
“Sawit Kinabalu telah mencatatkan sebanyak RM333 juta sebelum cukai berbanding unjuran sebanyak RM131 juta,” tambahnya.
“Kita berharap agar prestasi cemerlang ini akan terus dikekalkan dan dapat dipertingkatkan lagi,” tambahnya lagi.
Dalam majlis itu juga Hajiji turut menyaksikan acara Menandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Sawit Kinabalu Sdn Bhd yang diwakili Datuk Bacho Jansie dan Puan Anna Teo, Ketua Pegawai Eksekutif Hernan Corporation Sdn Bhd.
“MoU tersebut adalah bertujuan membangunkan projek tanaman durian yang melibatkan pemasaran dan pengeksportan buah durian asli dan produk nilai tambah ke pasaran domestik dan antarabangsa,” jelas Hajiji.
Menurut Hajiji, projek tersebut akan mampu memberi dan membuahkan pulangan yang lumayan dan kerjasama strategik ini akan memberikan peluang perkongsian maklumat dan kepakaran, penyelidikan serta teknologi antara Hernan Corporation Sdn Bhd dan Kumpulan Sawit Kinabalu.


