spot_img
HomeJenayahPolis Marin Tawau usir tujuh PATI Indonesia

Polis Marin Tawau usir tujuh PATI Indonesia

TAWAU: Seramai tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia, berjaya diusir keluar oleh Pasukan Polis Marin (PPM) kerana cubaan memasuki perairan negara di kawasan laut Tanjung Saima, Pulau Sebatik Tawau, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Polis Ridzauddin Selamat berkata, lima lelaki dan dua wanita berumur lingkungan 31 hingga 40 tahun itu, menaiki sebuah bot yang dipandu oleh seorang individu tempatan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati tujuh penumpang bot berkenaan disahkan sebagai PATI daripada negara Indonesia apabila pihaknya mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Walau bagaimanapun, anggota PPM telah memberi penerangan berkaitan pematuhan SOP COVID-19 yang telah ditetapkan dalam Perintah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengarahkan mereka balik ke negara asal masing-masing bagi memutuskan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan PATI, katanya dalam kenyataan media, kelmarin.

Susulan itu, Pasukan Polis Marin menggalakkan masyarakat persisir pantai menyalurkan sebarang maklumat sekiranya melihat kemasukan pendatang asing tanpa izin ke perairan Malaysia.

“Maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di nombor 013-9391197 atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan pihaknya terus kekal siaga dalam mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular