ARAB SAUDI : Berikutan daripada catatan kes harian terkini di Arab Saudi yang kian mencecah kepada angka 744 kes, kerajaan Arab Saudi mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di semua tempat tertutup dan terbuka bermula hari ini.
Memetik laporan Kementerian Dalam Negeri Saudi, Agensi Berita Saudi (SPA) menyatakan keputusan itu dibuat selepas kes harian COVID-19 di negara itu kembali melonjak kepada angka yang sangat membimbangkan.
Pada Oktober lalu, Arab Saudi mengumumkan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dimana antaranya individu yang sudah divaksin sepenuhnya dibenarkan untuk tidak lagi memakai pelitup muka di tempat awam terbuka.
Melihat kepada catatan kes terkini, kes baharu dicatatkan sebanyak 744 kes, menjadikan kes meningkat kepada 554,665 kes dengan 8,874 kes kematian. Analisis kes sembuh pula mencatat angka seramai 231 orang menjadikan jumlah kes sembuh juga meningkat kepada 541,388.
Dengan itu, pihak kerajaan kembali mengambil langkah berjaga-jaga dengan pematuhan semula prosedur operasi standard (SOP) seperti yang sudah digariskan sebelum ini.
Kementerian menjelaskan, semua prosedur dan arahan semasa tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa kesihatan, berdasarkan perkembangan situasi epidemiologi tempatan dan global.
Kementerian turut menegaskan supaya orang ramai megambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa patuh pada setiap arahan yang dikeluarkan pihak kesihatan dan kementerian demi kebaikan bersama.
Masyarakat juga digesa agar segera melengkapkan dos vaksinasi mereka agar risiko jangkitan wabak covid-19 dapat dikawal sebaiknya.