NEW DELHI: India kembali menjadi zon merah apabila jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara tersebut dilaporkan melonjak naik dalam masa 24 jam ke angka 34,889,132 hari ini.
Sebanyak 284 kematian akibat pandemik yang direkodkan sejak pagi semalam membuatkan jumlah kematian bertukar ke angka 481,770.
Daripada analisis harian, masih terdapat 122,801 kes aktif COVID-19 di negara itu, berikutan peningkatan sebanyak 18,020 kes aktif dalam tempoh 24 jam yang lalu, dimana lima hari berturut-turut jumlah kes aktif terus meningkat di negara itu.
Sementara itu, 34,284,561 orang disahkan telah sembuh dan seramai 9,249 orang dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Catatan data juga menunjukkan kes Omicron turut dikesan pada jumlah yang agak tinggi di negara itu sehingga mencecah 1,525 kes.
Maharashtra dan Delhi masing-masing melaporkan jumlah kes Omicron sebanyak 460 dan 351 kes. Sehingga kini, 560 pesakit Omicron telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.
Ketua Menteri, Arvind Kejriwal berkata, walaupun angka jangkitan di Delhi dilaporkan terus meningkat tiga kali ganda dalam tempoh yang sangat singkat, namun kadar kemasukan ke hospital masih terkawal.
“Ini bermakna, kebanyakan kes tidak memerlukan rawatan di hospital kerana menunjukkan gejala ringan sahaja. Masyarakat juga tidak perlu bimbang dan panik melihat keadaan ini”, jelasnya.
India juga akan melakukan pemberian vaksin bagi remaja yang berusia antara 15 hingga 18 tahun bermula esok dan persiapan sedang diusahakan pihak tertentu. Pemberian vaksin akan dijalankan di sekolah dan hospital.
Diharapkan kerjasama masyarakat untuk terus mengikuti saranan pihak berwajib supaya kes harian beransur pulih dan dapat dikawal dengan lebih baik.


