Kota Kinabalu: Sejak dahulu lagi, Universiti Malaysia Sabah (UMS) sememangnya terlibat aktif dalam melahirkan atlet berbakat untuk Sabah dan Malaysia. Pada tahun 2017 yang lalu, tiga atlet UMS berjaya mengharumkan nama negara dengan menyumbang pingat gangsa buat kontinjen Malaysia dalam temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.
Atlet yang terlibat merupakan pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) terdiri daripada Fatin Faqihah Yusuf dalam acara olahraga 4 x 400 meter, selain Christina Edris, dan Dayang Anak Maggie, pelajar pascasiswazah FPP yang turut menyumbang gangsa dalam acara ragbi Wanita.
Mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof. Dr D Kamarudin D Mudin berkata, dengan kemudahan sukan di universiti serta usaha membudayakan sukan dalam kalangan pelajar yang giat diteruskan, UMS mampu melahirkan lebih ramai lagi atlet cemerlang seperti mereka.
“Dengan galakan penuh terhadap kegiatan sukan, kita akan mampu melahirkan atlet berkualiti sekaligus menjadi penyumbang kepada pencapaian sukan negara dengan mengharumkan nama UMS sendiri pada masa yang sama,” katanya.
Sementara itu, atlet Track and Field UMS, Aisyah, 22, berkata, seiring dengan galakkan dan peluang yang diberikan, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak kekangan yang dihadapi untuk melangkah jauh apabila bergelar atlet dan mahasiswa pada waktu yang sama.
“Halangan terbesar yang harus kami hadapi adalah kekangan daripada pandemik covid-19 yang mana memberi kesan kepada aktiviti sukan dan perancangan kegiatan jangka masa panjang kami,” katanya.
Menurut Aisyah, banyak aktiviti berkenaan sukan yang ingin dianjurkan oleh univerisiti terpaksa ditangguhkan, menjadikan UMS sukar untuk membuat sebarang anjuran aktiviti dan kegiatan sukan.
“Selain itu, memandangkan kami juga bergelar mahasiswa, banyak prosedur dan peraturan yang semakin ketat dan harus dipatuhi terutama pada musim pandemik ini untuk memastikan kesihatan dan keselamatan sentiasa terjamin”, tambahnya lagi.
Penulis: Mary Malrose Amen