Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan satu kes import pertama varian Omicron di Tawau, Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kes melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia yang telah menunaikan umrah di Arab Saudi bersama isteri pada 9 Disember hingga 18 Disember 2021.
“Bermula dengan keputusan ujian “whole genome sequencing” terhadap pasangan itu pada 4 Januari 2022 sebelum penama (Pesakit) disahkan positif varian Omicron”
“Pasangan itu dilaporkan tiba di Tawau pada 20 Disember 2021 dan telah menjalani kuarantin kendiri di rumah mengikut garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM)”
“Isteri pesakit yang juga sedang menjalani kuarantin pada masa yang sama dengan suami dikesan positif Covid-19 melalui ujian PCR pada 24 Disember 2021”
Sementara itu, keputusan “whole genome sequencing” untuk isteri penama (pesakit) masih dalam ujian di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sebelum tindakan lanjut diambil.
Jelas Masidi, pasangan itu telah selesai menjalani kuarantin pada 1 Januari lalu dan telah pulih daripada jangkitan COVID-19.
“Kedua-dua mereka kini berada dalam keadaan sihat, namun ketika disahkan positif COVID-19, suaminya berada pada kategori 2 manakala isterinya adalah kategori 1,” tambahnya lagi.