spot_img
HomeJenayahEmpat bersama pasangan kekasih dicekup aktif edar ganja

Empat bersama pasangan kekasih dicekup aktif edar ganja

Kota Kinabalu: Kegiatan pasangan kekasih serta dua lagi rakan yang dipercayai dalang kepada sindiket pengedaran ganja berjaya dikesan sebelum ditahan pihak polis dalam tiga operasi berasingan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi yang digerakkan di bawah anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) itu menjalankan serbuan bermula jam 6 petang sebelum menahan suspek pertama di sebuah taman perumahan di Jalan Lintas.

“Suspek pertama berjaya dikesan bersama 68.31 gram dadah di Taman Milek,” katanya.

Berikutan hasil soal siasat terhadap suspek kemudiannya membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek berusia 28 tahun bersama 39.55 gram ganja di sebuah kondominium di Penampang.

Bertindak atas maklumat, pasukan operasi menyerbu sebuah lagi rumah di Millennium Court, dan menahan pasangan kekasih berusia 29 dan 30 tahun berserta rampasan 211.60 gram ganja yang disembunyikan di dalam sebuah beg di rumah berkenaan.

“Semua suspek yang ditahan adalah warga tempatan dan tidak mempunyai pekerjaan tetap”

Tambah Mohd Zaidi, siasatan awal mendapati semua dadah berkenaan diperolehi daripada pembekal ganja di Kuala Lumpur sebelum diedar menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar ganja berkenaan bersama barangan lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Sindiket ini bergiat aktif sejak hujung tahun 2020 dan menjadikan sebuah rumah sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula dalam pek kecil memudahkannya diedar di sekitar ibu negeri dan daerah Penampang” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, semua ganja yang dirampas seberat 319.24 gram yang dianggarkan bernilai RM800 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Semua suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati”, tambahnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular