MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, menyatakan bahawa tindakan penangkapan akan dikuatkuasakan ke atas individu yang tidak mengambil vaksin COVID-19 jika ingkar perintah duduk di rumah berikutan daripada catatan rekod di negara itu masih tinggi dalam tempoh tiga bulan.
Beliau menyatakan keputusan itu melalui ucapan rasmi menerusi televisyen dan meminta pihak berkuasa untuk mengawasi mereka yang tidak divaksin dan memastikan tidak meninggalkan rumah masing-masing.
“Sekiranya mereka enggan mengambil vaksin dan masih berkeras untuk keluar rumah dan bergaul dengan masyarakat lain, mereka patut dihalang dan jika masih berdegil, pihak berwajib dibenarkan untukmenahan mereka,” katanya.
Jangkitan harian Covid-19 di Filipina mencapai angka tertinggi sejak 26 September lalu dan kes yang dicatatkan semalam adalah sebanyak 17,220 kes termasuk jangkitan varian Omicron.
Angka ini adalah lebih tiga kali ganda berbanding rekod Selasa lalu, yang membawa kepada jumlah kumulatif lebih 2.88 juta jangkitan termasuk lebih 51,700 kematian menjadikan Filipina sebagai negara yang mencatatkan kes COVID-19 kedua tertinggi di Asia tenggara selepas Indonesia.
Duterte berkata beliau bertanggungjawab ke atas setiap rakyat Filipina dan mencabar sesiapa yang membantah keputusan itu dan akan memfailkan kes terhadapnya.
Hujung tahun lalu, seramai 49.8 juta penduduk daripada 110 juta penduduk Filipina sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19.
Di bawah undang-undang yang sedia ada, orang yang tidak divaksin di ibu negara, Manila, hanya boleh meninggalkan rumah untuk tujuan penting saja.
Susulan daripada 43 jangkitan domestik dan import varian Omicron di Filipina, pihak kerajaan dengan ini mengambil tindakan kawalan lebih drastik demi kepentingan bersama.