NEW YORK: Kebakaran sebuah bangunan pangpasuri di New York City telah mengorbankan 19 nyawa manakala puluhan lagi mangsa dilaporkan cedera. Menurut Datuk Bandar, insiden ini merupakan kebakaran terburuk yang pernah berlaku di Amerika Syarikat (AS).
“Seramai 19 mangsa disahkan maut, sementara beberapa yang lain dalam keadaan kritikal. Kejadian ini menjadi salah satu kebakaran terburuk dalam sejarah kita,” kata Datuk Bandar, Eric Adams dalam kenyataan beliau.
Terdapat 200 anggota bomba ditugaskan untuk memadam kebakaran, yang berlaku pada awal pagi di tingkat dua dan tiga bangunan 19 tingkat di East 181st Street, beberapa blok di barat Zoo Bronx.
Merujuk kepada kenyataan kejiranan yang berhampiran turut memaklumkan melihat penduduk melambai dari kediaman mereka, seolah-olah sedang terperangkap dan tidak dapat melarikan diri.
Punca kebakaran masih belum dipastikan setakat ini. Mangsa yang terlibat segera dibawa ke lima hospital dan didapati ramai yang mengalami serangan jantung dan pernafasan.
Kebakaran berlaku empat hari selepas insiden sama di Philadelphia, yang mengorbankan 12 nyawa, termasuk lapan kanak-kanak di sebuah bangunan perumahan awam tiga tingkat.
“Kali terakhir kehilangan sebegini berlaku 30 tahun lalu,” kata Pesuruhjaya Jabatan Bomba New York City, Daniel A Nigro.
Nigro berkata, api merebak dengan cepat di sebahagian besar struktur itu, dengan asap sangat tebal yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Gambar dan video yang disiarkan di media sosial menunjukkan api dan asap hitam tebal berkepul-kepul keluar dari tingkap tingkat tiga bangunan bata itu ketika anggota bomba sedang menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Ini benar-benar satu tragedi. Ini benar-benar hari yang mengerikan bagi kami,” tambah Adams.
Pada Disember 2017 lalu, 13 mangsa terbunuh dalam kebakaran di sebuah bangunan pangsapuri di Bronx, kebakaran paling buruk di New York City dalam tempoh 25 tahun dan kini kebakaran besar kembali berlaku dengan insiden yang lebih mengerikan bagi penduduk setempat.