spot_img
HomeJenayahPesara guru rugi RM100,000 terpedaya Macau Scam

Pesara guru rugi RM100,000 terpedaya Macau Scam

ALOR SETAR: Selepas menerima panggilan, seorang pesara guru kerugian RM100 000, kononnya mangsa terbabit dalam kemalangan dan ada membuat tuntutan insurans.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, pada 3 Januari lalu, individu yang mengaku ejen insurans dari Kuala Lumpur, membuat panggilan kepada mangsa wanita berusia 60 tahun dari Changlun.

Beliau berkata, awalnya mangsa menafikan dakwaan ada melakukan tuntutan insurans berkenaan, sebelum terjerat diarahkan membuat laporan secara dalam talian ke Balai Polis Pudu.

Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku pegawai polis berpangkat Sarjan dari Balai Polis Pudu untuk membuat pengesahan.

“Suspek kemudiannya memaklumkan hasil semakan nombor kad pengenalan mangsa mendapati, dia terbabit dengan kes pengubahan wang haram.

“Mangsa turut dimaklumkan oleh suspek, waran tangkap ke atas mangsa telah dikeluarkan.

“Suspek meminta mangsa, memberikan 16 digit nombor tertera pada kad mesin juruwang automatik (ATM) akaun Bank Rakyat milik mangsa serta butiran perbankan dalam talian untuk tujuan siasatan.

“Malah mangsa perlu menunggu selama tiga minggu.”

Elias berkata, mangsa berasa curiga selepas 10 hari, membuat semakan dan mendapati wang simpanan di dalam akaun Bank Rakyat miliknya berjumlah RM100,000 telah lesap.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis pada 13 Januari lalu dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu). – Astro Awani

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular