spot_img
HomeJenayahDua lelaki didakwa bunuh pekerja kolam ikan

Dua lelaki didakwa bunuh pekerja kolam ikan

Tapah: Dua rakan berhadapan hukuman mati di tali gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas dakwaan membunuh seorang lelaki di sebuah kolam ikan di Bidor, September tahun lalu.

Tertuduh, N. Mageswaran, 31, dan M. Anbu, 30, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes berada dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa membunuh D Gunasealan,29, dalam kejadian di kolam ikan Kampung Poh, Bidor antara jam 2 pagi hingga 7.30 pagi pada 13 September 2021.

Keduanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria, manakala Anbu diwakili peguam bela, J Gunamalar, sementara Mageswaran belum diwakili.

Terdahulu, media melaporkan penangkapan dua lelaki bagi membantu siasatan kes penculikan, dipercayai berlaku September lalu dengan penemuan mayat ditanam di kebun kelapa sawit di Bidor.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata mangsa pembunuhan itu diserang dan dilarikan oleh dua suspek ketika berada di kolam ikan dekat Kampung Poh, Bidor.

Sementara itu, Majistret menetapkan 21 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan forensik.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular