KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor telah merasmikan Karnival Tahun Baharu Cina 2022 di Lintasan Deasoka, malam tadi.
Datuk Seri Hajiji berkata Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan kepada semua kaum di Sabah untuk menganjurkan aktiviti kebudayaan masing-masing, mengamalkan sikap bertoleransi dan menggalakkan setiap kumpulan etnik di Sabah mempertahankan kebudayaan masing-masing.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Jeffrey G. Kitingan turut menghadiri majlis perasmian tersebut.
Jeffrey berkata pandemik Covid-19 telah memaksa banyak program dibatalkan termasuklah Karnival Tahun Baharu Cina pada dua tahun yang lalu. Syukurlah pada tahun ini ia dapat dilaksanakan walaupan dalam suasana sederhana, aman damai dan muhibbah.
“Masyarakat Tionghua juga diseru agar terus membantu dalam membangunkan negeri Sabah,” tambahnya.
“Pada masa yang sama kerajaan negeri akan memastikan pembangunan yang saksama untuk semua komuniti di Sabah,” tambahnya lagi.
Menurut Jeffrey, pada tahun ini sejumlah 48 juta telah diberikan untuk sekolah vernakular, mubaligh dan badan keagamaan bukan Islam. Ia adalah merupakan peruntukan terbesar yang pernah diluluskan.
“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri dalam pelbagai aspek pembangunan negeri yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19. Tahun 2022 adalah permulaan tahun baru yang baik kepada ekonomi Sabah,” tambahnya.

Jeffrey berkata, sempena karnival ini, Ketua Menteri turut menyerahkan replika cek sejumlah RM200,000 daripada Kerajaan Negeri kepada Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) yang diwakili oleh Tan Sri Datuk Seri Panglima (Dr.) T. C. Goh, JP.
“Penyerahan cek tersebut adalah untuk pelaksanaan aktiviti Gabungan Persatuan Cina Sabah,” tambahnya.


