spot_img
HomeSemasaPolis siasat perhimpunan SSR, libatkan ahli politik dan NGO

Polis siasat perhimpunan SSR, libatkan ahli politik dan NGO

KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat penglibatan beberapa ahli parlimen, ADUN dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam perhimpunan Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) di Bangsar, kelmarin.

Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Awam 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Amihizam berkata, perhimpunan yang melibatkan ahli politik dan NGO mula berkumpul di LRT Bangsar sejak 10.45 pagi.

Protes terhadap Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Jalan Bangsar Kuala Lumpur. – Foto Firdaus Johari

“Sekitar jam 11.45 pagi, dianggarkan seramai 400 orang membawa sepanduk bertulis “tangkap”, mula bergerak ke Jalan Travers sehingga persimpangan lampu isyarat ke pekan Brickfields,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mengulas lanjut, peserta perhimpunan itu kemudian bergerak semula ke LRT Bangsar dan bersurai secara berperingkat 30 minit kemudian selepas ketua dewan berucap.

Walaupun pihaknya telah memberi amaran, namun mereka tetap berdegil meneruskan perhimpunan tersebut sehingga menyebabkan pihak polis terpaksa mengawal ketat laluan ke stesen LRT Bangsar sejak pukul 7 pagi.

Jelas beliau, perhimpunan itu dipantau oleh 21 pegawai polis dan dibantu oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Perhimpunan itu tidak dapat dibenarkan berikutan Kuala Lumpur masih di bawah Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular