KOTA KINABALU: Sabah catatkan kutipan hasil sebanyak RM 5.449 bilion bagi tahun 2021, sekali gus merekodkan perolehan tertinggi kerajaan negeri sejak merdeka lalu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kutipan hasil itu merupakan salah satu pencapaian terbaik setakat ini kerana telah berjaya memecah rekod hasil kutipan paling tinggi sebelum ini, pada tahun 2014 iaitu RM 4.541 bilion.
Beliau berkata, selepas mencatatkan hasil lebih RM 4.9 billion ketika pebentangan Belanjawan Negeri 2022, kutipan hasil tahun lalu juga melepasi sasaran awal yang dianggarkan bernilai RM 5 billion.
Sebelum ini, pada 3 Disember lalu, beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mencipta sejarah baharu bagi kutipan hasil tertinggi 2021. Anggaran kutipan disemak RM 4.912 billion dan dijangka menembusi paras RM 5 billion menjelang akhir tahun.
Berikutan itu, beliau dengan sukacitanya, semalam, mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah berjaya menembus angka RM 5 bilion. Malah kutipan keseluruhan hasil pada tahun kewangan berakhir bagi 31 Disember 2021, ialah RM 5.449 billion.
Menurutnya, pencapaian itu sangat signifikan. Bahkan dilakar ketika negara berhadapan pelbagai cabaran berikutan penularan COVID-19.
“Pencapaian ini petunjuk awal keberkesanan pelan halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan kerajaan negeri pada mac tahun lalu, dalam usaha melonjakkan semula kutipan ekonomi Sabah.” Katanya.
“Walaupun pada tahun 2020, pertumbuhan ekonomi merudum sebanyak 9.5 peratus. Namun, jumlah ini dapat dikawal berbanding anggaran awal penurunan pada kadar 15 hingga 19 peratus”
Pelbagai inisiatif terbaik yang mana telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengatasi kadar pertumbuhan negatif terhadap berbagai sektor pada tahun sebelumnya, telah menunjukkan perubahan signifikan dengan pertumbuhan positif pada tahun 2021 bernilai antara 3.8 hingga empat peratus.


