spot_img
HomeDuniaPenemuan varian baharu COVID-19 di Indonesia

Penemuan varian baharu COVID-19 di Indonesia

JAKARTA: Selepas rekod varian baharu yang dikenali sebagai varian Omicron, Indonesia melaporkan satu lagi varian baharu COVID-19 yang didakwa ditemui di Surabaya, Jawa Timur.

Ketua Jabatan Kesihatan Jawa Timur, Erwin Astha Triyono, mengesahkan terdapat satu kes positif yang membabitkan varian baharu, yang disifatkan sebagai strain tempatan.

Beberapa pihak melaporkan mutasi varian itu berbeza berbanding Omicron, Delta atau varian lain yang pernah dikesan sebelum ini.

Erwin turut menjelaskan, varian baharu itu dikesan menerusi pemeriksaan penjujukan genom keseluruhan (WGS) yang dilakukan oleh Institut Penyakit Tropika (ITD) di Universiti Airlangga Surabaya (Unair).

“Terdapat 18 sampel yang dikesan ITD Unair dengan lapan daripadanya membabitkan varian Omicron, sembilan (Delta) dan satu lagi varian tempatan dan didapati varian baharu itu berbeza berbanding Omicron dan Delta,” katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan masih giat melakukan kajian terhadap penemuan varian baharu itu bagi mengenalpasti risiko jangkitan.

Erwin berkata, masih terlalu awal untuk menjelaskan berkenaan ciri-ciri varian berkenaan dan selepas kajian digiatkan, makluman akan dilakukan dengan segera kepada umum.

“Penelitian masih dilakukan oleh pasukan di ITD Unair dan perinciannya lebih sesuai diselaraskan dengan Ketua ITD Unair, Prof Maria Lucia Inge, kerana beliau yang mempunyai data lengkap,” jelasnya.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia, Siti Nadia Tarmizi, turut berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Jawa Timur berhubung penemuan varian baharu itu.

Sehingga kini, pihak mereka masih belum memperoleh maklumat lanjut mengenai varian berkenaan dan jika ia disahkan varian baharu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menentukan kategori varian yang dikesan ini dengan kadar segera.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular