KOTA KINABALU: Mentaliti yang kuat menjadi tunjang kepada peningkatan tahap keyakinan pasukan Sabah FC dalam perlawanan yang akan diharungi di Liga Malaysia tahun ini. Ia harus dipupuk bagi mengelakkan pasukan tersebut digelar sebagai pasukan “Ayam Mati”.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, setiap pemain Sabah FC harus menampilkan gaya seorang juara yang penuh dengan semangat ingin menang agar lebih disegani oleh pihak lawan.
“Saya nampak keterampilan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang sentiasa inginkan kemenangan. Oleh itu semua pemain juga harus memiliki sikap sedemikian dan dengar setiap arahan yang diberikan oleh jurulatih,” katanya ketika berucap dalam majlis Sabah FC Fundraising Dinner yang diadakan di Kota Kinabalu.
“Tahun ini Sabah FC yang dipimpin oleh Datuk Ong Kim Swee akan tampil memberikan saingan hebat kepada pasukan ternama lain dalam Liga Malaysia berdasarkan prestasi dan persiapan awal yang dijalankan sejak 2020 dengan perubahan yang lebih besar.” Tambahnya lagi.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, pasukan Sabah FC sangat terhutang budi kepada Datuk Ong Kim Swee kerana sokongan yang diberikan oleh pihak pengurusan adalah sangat tinggi dalam memastikan pasukan tersebut mampu memberikan saingan sengit dalam Liga Malaysia nanti.
“Saya berharap, dengan wujudnya pasukan baharu ini, Sabah FC akan menjadi sebuah kelab yang memiliki kualiti dan memperagakan gaya permainan terbaik serta memiliki semangat juang yang tinggi untuk menang dalam setiap perlawanan,” katanya.


