spot_img
HomeSemasaPenerbangan terus Kota Kinabalu-Kuala Terengganu tingkatkan pelancongan domestik

Penerbangan terus Kota Kinabalu-Kuala Terengganu tingkatkan pelancongan domestik

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin menyatakan pengenalan AirAsia bagi penerbangan terus antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu akan meningkatkan lagi pelancongan domestik, serta mengeratkan hubungan antara Sabah dan Terengganu.

“Bagi pihak kerajaan Sabah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada AirAsia kerana memilih Kota Kinabalu sebagai salah satu laluan baharunya dan kami berharap dapat terus bekerjasama bagi memulihkan industri pelancongan khususnya di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan adanya penerbangan baharu ini, beliau percaya Sabah akan lebih mudah dikunjungi oleh pelancong dalam dan luar negara kelak.

“Saya mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk datang meneroka Sabah dan menikmati tawaran pelancongan serta kepelbagaian budaya di negeri ini,” tambahnya.

Penerbangan sulung dari Kota Kinabalu oleh AirAsia menerima tabik hormat air ketika mendarat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu — Foto Daily Express

Pada ahad lalu, penerbangan sulung AK5310 berlepas dari Kota Kinabalu tepat pada jam 3.15 petang dan tiba di Kuala Terengganu pada jam 5.40 petang.

Mengulas lanjut, penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu berlepas pada setiap hari Ahad dengan tambang promosi sehala tersedia untuk tempahan bermula serendah RM128 sahaja dari sekarang hingga 14 Februari 2022.

Tempahan tersebut sah untuk tempoh perjalanan dari 13 Februari hingga 30 September 2022.

Sementara itu, Jafry berkata, pihaknya akan terus menyokong syarikat penerbangan itu dan berharap dapat bekerjasama mempromosikan sektor pelancongan.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular