KOTA KINABALU : Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee percaya bahawa pasukan kendaliannya akan bertambah baik dari semasa ke semasa.
Kim Swee berkata beliau mahu setiap pemain termasuk pemain import Neto Pessoa, Jackson De Souza, Taiki Kagayama, Taesu Park dan Saddil Ramdani harus diberi masa.
“Pemain-pemain ini hanya dikumpul selama dua bulan walaupun mereka merupakan pemain-pemain yang berkualiti tetapi sesebuah pasukan memerlukan masa untuk dibentuk,” tambahnya.
“Hanya masa menentukan tetapi untuk mengkritik pemain selepas satu atau dua perlawanan dan saya rasa itu tidak adil, mereka harus diberi peluang,” tambahnya lagi
Menurut Kim Swee, kemenangan 3-1 terhadap PJ City FC semalam itu penting selepas Sabah FC tewas di laman sendiri semasa bertemu Negeri Sembilan FC 0-1 pada Jumaat lepas.
Kesempatan itu, Kim Swee mengulas aksi menentang PJ City FC, beliau berpuas hati dengan persembahan para pemainnya yang sangat baik berbanding ketika aksi menentang Negeri Sembilan FC minggu lalu.
“Pemain dapat melakukan penyudah baik untuk menjaringkan gol kali ini walaupun daripada sepakan sudut dan sepakan percuma. Tetapi ini merupakan senjata di mana pastinya akan membantu kita pada perlawanan akan datang,” tambahnya.
“Yang penting pemain menunjukkan kesungguhan dan mereka tahu walaupun mereka bukan pemain tempatan tetapi mereka bermain untuk pasukan Sabah FC,” tambahnya lagi.
Bagi saingan Liga Super Malaysia ini, perlawanan seterusnya Sabah FC akan menentang Melaka United FC di Stadium Hang Jebat Melaka pada 5 April.
Manakala saingan Piala FA, Sabah FC menentang Respect FC di Stadium Likas Kota Kinabalu pada Sabtu ini. – Sabah FC