Tawau: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Tawau berjaya merampas sebanyak 727 liter minyak diesel dalam satu operasi, semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Tawau, Sam Aminudin berkata Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, pasukan operasi turut menahan seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an di lokasi tersebut.
Menurutnya, kejayaan rampasan itu adalah hasil risikan selama satu minggu berkaitan aktiviti penyelewengan minyak diesel di stor penyimpanan dan stesen-stesen minyak di daerah ini.
Sebelum itu, pasukan operasi mengesan dua lori dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di daerah ini sepertimana maklumat risikan.
“Seorang lelaki turut dikesan sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki yang telah diubah suai di bahagian belakang salah satu lori berkenaan.
“Pegawai penguatkuasa yang berada di lokasi kejadian segera bertindak menjalankan pemeriksaan terhadap lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Susulan itu, hasil pemeriksaan telah menemukan sebanyak 727 liter minyak diesel yang telah dimasukkan ke dalam tangki penyimpanan tersebut.
“Lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan bagi membeli barang kawalan minyak diesel berkenaan.
“Semua barang rampasan termasuk dua tangki dan dua lori berkapasiti satu tan yang dianggarkan bernilai RM417, 563.71 itu dirampas untuk siasat lanjut,” katanya.
“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sebanyak RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala hukuman ke atas syarikat pula denda tidak melebihi RM2 juta,” katanya.
Sam berkata, orang ramai disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan atau bersubsidi.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pihak KPDNHEP melalui Whatsaap 019-2794317, Portal aduan eaduan.kpdnhep.gov.my dan Call Centre 1-800-886-800.
Kes ini akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961. -Utusan