spot_img
HomeSemasaProtokol baharu kontak rapat bermula 22 April ini

Protokol baharu kontak rapat bermula 22 April ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menetapkan sebuah protokol baharu berkait kontak rapat COVID-19 tanpa mengira status vaksinasi yang akan berkuatkuasa pada 22 April ini.

Menurut laporan, protokol berkenaan membabitkan kontak rapat pesakit COVID-19 tanpa gejala dan bergejala.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, kontak rapat tanpa gejala tidak perlu menjalani pengawasan dan pemerhatian (HSO).

“Bagaimanapun, individu berkenaan perlulah mematuhi beberapa protokol yang ditetapkan.

“Dalam tempoh lima hari dari tarikh terakhir pendedahan kepada kes positif COVID-19, kontak rapat terbabit hendaklah sentiasa memakai pelitup muka apabila keluar dari rumah, serta perlu mengelakkan berada di tempat yang sesak dan elakkan daripada melawat kumpulan berisiko tinggi.

“Individu terbabit juga digalakkan untuk memastikan pengudaraan yang baik di samping membuat perjalanan yang penting sahaja,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Bagi kontak rapat bergejala pula, KKM menasihatkan individu terbabit untuk melakukan kuarantin kendiri.

“Kontak rapat yang bergejala digalakkan menjalani ujian RTK-Ag kendiri pada hari gejala bermula dan seterusnya melakukan ujian tersebut sekali lagi pada hari ketiga.

“Jika keputusan ujian RTK-Ag adalah negatif dan gejala semakin berkurangan, kontak rapat boleh melakukan aktiviti-aktiviti luar seperti biasa.

“Bagaimanapun, kontak rapat ini hendaklah sentiasa memakai pelitup muka setiap kali keluar dari rumah serta perlu mengelakkan berada di tempat yang sesak, elakkan melawat kumpulan berisiko tinggi, serta memastikan pengudaraan baik dan membuat perjalanan yang penting sahaja sepanjang tempoh kuarantin tersebut,” katanya.

Susulan itu, menurut Khairy, jika gejala semakin teruk, individu berkenaan perlulah mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan terdekat.

Jika keputusan RTK-Ag positif, individu tersebut hendaklah diuruskan mengikut garis panduan pengurusan kes positif COVID-19. – Berita Harian

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular