SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna telah merampas barang kawalan yang disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran Filipina di sekitar selatan Laut Pulau Boheyan, hari ini.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna, DSP Mohamad Ismail berkata pihak mereka bertindak menjalankan pemeriksaan ke atas bot yang dilihat mencurigakan.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah mendapati beberapa jerikin berisi minyak petrol yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran, Filipina.
“Nilai rampasan dianggarkan mencecah sehingga RM17,316.00 dan kesemua rampasan telah di bawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan seluruh komuniti maritim untuk memberikan maklumat serta melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi Whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.