spot_img
HomeDuniaSingapura mulakan suntikan Nuvaxovid

Singapura mulakan suntikan Nuvaxovid

SINGAPURA: Rakyat Singapura yang berusia 18 tahun ke atas yang boleh menerima vaksin COVID-19 termasuk suntikan dos penggalak kini boleh membuat janji temu untuk mendapatkan vaksin bukan mRNA, iaitu Nuvaxovid oleh Novavax.

Suntikan berkenaan boleh diambil di Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC) Bishan di bekas tapak Sekolah Menengah Bishan Park, atau mana-mana 20 Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) yang mengambil bahagian.

Merujuk kepada maklumat daripada Kementerian Kesihatan (MOH), PHPC menawarkan vaksin Nuvaxovid bermula 18 Mei 2022, sementara JTVC Bishan akan menawarkannya bermula 24 Mei 2022.

“Seperti yang disyorkan oleh Jawatankuasa Pakar Vaksinasi COVID-19, individu berumur 18 tahun ke atas boleh menerima vaksin Nuvaxovid untuk siri utama atau vaksin penggalak mereka. Vaksin mRNA kekal sebagai vaksin pilihan kerana keberkesanannya adalah lebih tinggi dan tindak balas imun lebih kuat yang dihasilkan. Namun, mereka yang tidak layak secara perubatan untuk menerima vaksin mRNA harus mempertimbangkan Nuvaxovid,” jelas MOH.

Nuvaxovid dicipta menggunakan teknologi berasaskan protein yang sudah wujud selama beberapa dekad untuk mencipta vaksin bagi penyakit seperti penyakit kayap, batuk kokol dan hepatitis. Protein dalam vaksin Novavax meniru protein pepaku (spike protein) COVID-19. Ia dicipta dalam sel rama-rama, kemudian ditukar menjadi nanopartikel yang dituai untuk membuat vaksin.

Protein pepaku tidak berjangkit itu kemudiannya dimasukkan ke dalam badan untuk mendorong tindak balas imun.
Perbezaan utama antara vaksin Novavax dan mRNA ialah ia dibuat dengan salinan buatan makmal bagi protein pepaku COVID-19, manakala vaksin mRNA termasuk arahan genetik untuk badan membuat protein pepaku sendiri.

Ujian menunjukkan bahawa Nuvaxovid adalah kira-kira 90 peratus berkesan dalam mencegah gejala COVID-19 dan 100 peratus berkesan dalam mencegah jangkitan yang lebih teruk.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular