Sandakan: Seramai 11 nelayan asing warga Vietnam ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas di dapati menceroboh perairan negara di kawasan utara laut Pulau Langkayan, semalam.
Difahamkan kesemua mereka ditahan bersama peralatan menangkap gamat dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2.8 juta.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata kejayaan tangkapan tersebut adalah hasil maklumat risikan awam dan tindakan pantas Unit Risikan Marin PPM Sandakan di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan awal mendapati semua suspek tidak memiliki pengenalan diri serta kebenaran atau permit menjalankan aktiviti menangkap hidupan laut di perairan negara secara sah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
“Kita telah menangkap seramai 11 individu terdiri juragan dan awak-awak warga Vietnam berumur lingkungan 10 hingga 49 tahun”
Beliau bekata, pihaknya turut merampas lapan set peralatan menangkap gamat dan hasil gamat yang dicuri tersimpan dalam beberapa tong yang diperoleh secara haram.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk dua kapal berkenaan dianggarkan berjumlah RM2,873,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 untuk juragan kapal dan Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 untuk peralatan perikanan.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah masuk ke negara ini,”katanya.
Ahmad menegaskan PPM Wilayah Empat Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana sindiket jenayah rentas sempadan dan tindakan secara proaktif serta agresif akan diambil sekiranya didapati bersalah.