spot_img
HomeJenayahCubaan bot laju ceroboh masuk perairan negara digagalkan

Cubaan bot laju ceroboh masuk perairan negara digagalkan

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sandakan telah mengusir keluar dua bot laju yang dijuragani dua lelaki dari Filipina yang cuba menceroboh masuk perairan negara di kawasan laut Nunuyan, Sandakan, hari ini.

Menurut Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sandakan, DSP Rusdin bin Banin, operasi pengusiran tersebut dilakukan oleh sepasukan Polis Marin ketika melakukan Ops Gelora yang berlangsung dari pagi sehingga lewat tengah hari tadi.

“Semasa rondaan dilakukan, Pasukan Polis Marin telah mengesan bot-bot tersebut dalam keadaan mencurigakan dari perairan negara jiran yang cuba memasuki perairan negara sebelum berjaya dipintas.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati PATI tersebut berasal dari Filipina yang ingin memunggah hasil laut ke Sandakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, bot-bot berkenaan kemudiannya dihalau keluar dan diiringi sehingga keluar dari perairan negara serta diberi amaran untuk tidak mencuba memasuki perairan negara lagi.

Pihak Pasukan Polis Marin menggalakkan masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi WhatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di nombor 0139391197 atau terus ke balai berdekatan untuk tindakan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular