Kota Kinabalu: Kerajaan negeri Sabah memandang serius tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memindahkan sembilan anggotanya yang dipercayai terlibat kes peras ugut ke Sabah dan Sarawak tanpa mendapat pandangan dari kerajaan negeri terlebih dahulu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor meminta supaya pihak polis memaklumkan dan berbincang dengan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum tindakan seumpama itu dilaksanakan.
“Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan itu mungkin sebagai satu prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan berkenaan terhadap anggota mereka,”
Hajiji yang sedang menunaikan ibadah Umrah berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada pihak polis mengenai perkara berkenaan.
Terdahulu media melaporkan, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi dipetik berkata, sembilan anggota polis yang sebelum ini disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak Selangor mengenai pemilikan dadah baru-baru ini bakal ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.