KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Bola Baling Sabah, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, pasukan dari Singapura dan Indonesia sah menyertai Kejohanan Bola Baling Terbuka Sabah merebut Piala Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Menteri Kerja Raya Sabah.
Kejohanan yang julung kali diadakan pada September 2022 ini, bermatlamat mengangkat mutu permainan bola baling di Negeri Sabah. Seterusnya dapat melahirkan bakat-bakat baharu untuk mewakili Sabah dan negara.
Beliau berkata, sebelum ini permainan bola baling ini hanya terkenal dalam kalangan guru-guru sekolah dan murid. Oleh yang demikian, Persatuan Bola Baling Sabah sentiasa berusaha menganjurkan pelbagai kejohanan di negeri ini untuk melahirkan bakat-bakat baharu.
“Sukan bola baling dipertandingkan di peringkat dunia, olimpik dan sukan Asia. Jadi kita perlu menonjolkan sukan ini kepada semua lapisan masyarakat di Sabah, agar lebih dikenali seperti sukan bola sepak, badminton, hoki dan lain-lain sukan,” katanya.
Awang juga berharap, kejohanan yang dijangkakan berlangsung pada bulan hadapan ini, dapat mengetengahkan pemain-pemain yang berkualiti dan terbaik dari seluruh daerah di Sabah.
“Semoga sukan ini dapat perhatian oleh kalangan ahli sukan dan orang ramai dan pihak Majlis Sukan Sabah dan Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk menyokong sepenuhnya dalam melancarkan kejohanan berlangsung nanti,” katanya.