spot_img
HomeDuniaBerita Palsu: Jangan Jadi Penyebar

Berita Palsu: Jangan Jadi Penyebar

Kota Kinabalu: Jabatan Penerangan Negeri Sabah telah menganjurkan program Sembang Santai bertajuk Berita Palsu: Jangan Jadi Penyebar. Program telah dilaksanakan secara dalam talian hari ini 10 Julai 2021 bermula pukul 9.00 pagi. Program ini bertujuaan menjelaskan berkenaan isu penyebaran berita palsu dengan lebih terperinci yang dikupas oleh Penolong Pengarah MCMC Sabah Puan Suhaila.

Beliau menyatakan Seksyen 211 iaitu larangan terhadap pemberian kandungan jelik dan Seksyen 233 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dilihat sebagai akta yang cukup untuk menangani isu penyebaran berita palsu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati, sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan sentiasa membuat semakan sesuatu berita daripada sumber rasmi atau boleh dipercayai.

“Pihak berkuasa kita mempunyai kepakaran untuk menyiasat identiti terselindung disebalik penyebaran berita palsu. Perkara yang belum tentu sahih, jika kita turut sebarkan dan sekiranya ia didapati tidak benar, boleh dikenakan tindakan.

“Terdapat beberapa platform yang boleh digunakan untuk menentukan kesahihan sesuatu berita. Komuniti boleh menyemak berita yang tersebar melalui pautan sebenarnya.my atau pautan-pautan rasmi kerajaan yang lain. Portal Sebenarnya.my menerima lebih 161 juta layaran dan secara purata menerima lebih 14.3 juta ‘hits’ setiap bulan.

“Peningkatan mendadak terhadap ‘hits’ layaran ialah ekoran penularan berita COVID-19 yang diragui kesahihannya,” katanya.

Dalam masa yang sama Tuti Ema Yani, Pengurus Pusat Internet Komuniti (PIK) Taman Gum-Gum, Sandakan berkongsi inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak PIK bagi membantu mengekang penularan berita palsu, iaitu membuat pengisian advokasi Klik Dengan Bijak secara berterusan melalui laman sosial rasmi PIK. Sumber-sumber perkongsian diambil daripada pihak berwajib bagi memastikan perkongsian yang dibuat adalah fakta, sahih dan benar.


“Kita tahu zaman sekarang masyarakat lebih banyak menggunakan laman sosial untuk mendapatkan maklumat. Orang lebih senang hadap telefon berbanding mengusung televisyen. Jadi kita guna laman sosial untuk sebarkan berita yang benar dan tangkis berita yang palsu,” katanya ketika memberi maklumbalas dalam ruangan sembang santai tersebut.

Secara fakta, Kes penyebaran berita palsu turun sebanyak 83 peratus ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berlangsung berbanding ketika PKP 1.0 pada tahun lalu. Sejak Januari 2020 sehingga 13 Jun lalu, sebanyak 296 kes turut disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular