BANGKOK: Susulan daripada peningkatan kes varian Omicron yang semakin membimbangkan, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) merancang pemberian dos vaksin keempat bagi kumpulan yang berisiko dan terdedah dengan COVID-19.
“Individu yang berumur 60 tahun dan ke atas, penghidap penyakit kronik, kakitangan perubatan serta petugas barisan hadapan digesa untuk mendapatkan dos vaksin keempat bagi mengekalkan imuniti mereka,” jelas Gabenor Bangkok, Aswin Kwanmuang.
Beliau berkata BMA akan mula memaklumkan kepada orang ramai berkenaan dengan suntikan keempat vaksin apabila pelaksanaannya diluluskan.
Seperti yang sudah sedia maklum, minggu lalu Israel telah mengumumkan pemberian dos keempat vaksin COVID-19 bagi individu yang berisiko sebagai langkah perlindungan awal dalam usaha mengekang varian Omicron.
Pakar virologi Universiti Chulalongkorn, Yong Poovorawan menzahirkan kebimbangannya berkenaan kes Omicron yang boleh merebak lebih meluas di Thailand selepas cuti Tahun Baharu.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Awam mendedahkan perancangan untuk menangani potensi wabak COVID-19 yang disebabkan oleh varian Omicron pada tahun depan.
Merujuk kepada rekod harian Thailand, 200 kes Omicron di 10 wilayah termasuk Kalasin, Pattani dan Bangkok dicatatkan.
Dalam tempoh 24 jam yang lalu, Thailand merekodkan 2,437 kes baharu COVID-19 dan 18 kematian, menjadikan jumlah jangkitan di negara itu meningkat kepada 2,212,407 kes dan 21,598 kematian.
Dengan itu, tanggungjawab masyarakat dalam pematuhan norma baharu amat digalakkan agar usaha pelbagai pihak untuk membendung penularan virus covid-19 dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.