Lahad Datu: Pasukan Polis Marin berjaya menumpaskan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan Laut perairan Lahad Datu, petang semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu Superintendan Gan Ping Sin berkata, sebuah perahu dalam keadaan mencurigakan dikesan oleh pasukan PPM yang menjalankan operasi kawalan di sekitar kawasan perairan daerah berkenaan.
Kataya, anggota PPM bertindak mengejar perahu terbabit sebelum menemukannya ditinggalkan di persisiran pantai di kawasan berkenaan.
Hasil pemeriksaan menemukan peralatan yang disyaki digunakan suspek untuk aktiviti bom ikan, selain beberapa pukat berisi pelbagai jenis ikan turut dirampas pihak PPM dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,750.
Rampasan terbabit kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan Lahad Datu bagi tindakan lanjut.
Dalam pada itu beliau berkata, Pasukan Polis Marin W4 Sabah mengalu-alukan masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.