spot_img
HomeUncategorizedLima pemburu ditahan di Paitan

Lima pemburu ditahan di Paitan

PAITAN: Lima lelaki ditahan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melanggar Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 di Paitan, kelmarin.

Pengarah JPS, Augustine Tuuga berkata, semua individu berusia antara 50 dan 55 tahun itu didakwa memburu melebihi kuota ditetapkan dalam lesen memburu mereka dan kes disiasat di bawah Seksyen 25 Sub-seksyen 2 (b).

“Hasil pemeriksaan, pasukan penguatkuasa menemui dua bangkai haiwan dipercayai rusa bersama peralatan memburu lain di belakang kenderaan pacuan empat roda mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda minimum RM50,000 hingga maksimum RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan aktiviti memburu tanpa lesen memburu sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.

“Bagi mereka yang memiliki lesen perlu mematuhi syarat-syarat dinyatakan dalam lesen seperti tempoh sah memburu, kawasan perburuan dan bilangan haiwan dibenarkan untuk diburu,” tambahnya lagi.

Kerjasama strategik antara JPS dan Jabatan Hidupan Liar Sabah akan diteruskan bagi membanteras aktiviti pemburuan haram dan eksploitasi hidupan liar, terutamanya di hutan simpan.

Dengan itu, usaha sebegini dapat melindungi hidupan liar di Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular