Kota Marudu: Seorang doktor wanita dilaporkan kerugian sebanyak RM63,950 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak, berkata mangsa yang berusia 31 tahun yang bekerja di hospital daerah ini mendakwa menerima panggilan dari seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN jam 1.50 tengah hari, semalam.
“Suspek mendakwa nama dan MyKad mangsa digunakan oleh sebuah syarikat dan mempunyai cukai tertunggak selama 15 bulan berjumlah RM228,000.”
Katanya, panggilan kemudian disambung kononnya kepada ‘Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka’ dan suspek kononnya mendakwa mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram serta penyeludupan dadah.
“Susulan itu, mangsa dikehendaki memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian kononnya bertujuan mengenal pasti sama ada mangsa terbabit dengan masalah penggubahan wang haram.”
Tambah Zairolnizal, wanita terbabit terus memberikan butiran beberapa akaun bank miliknya kepada suspek dan hanya menyedari dirinya tertipu kira-kira jam 5.30 petang hari yang sama.
“Mangsa kemudian membuat semakan semula akaun bank miliknya dan mendapati wangnya sebanyak RM63,950 dalam akaun banknya hilang.”
“Menyedari tertipu, mangsa kemudian membuat laporan polis, semalam dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.