spot_img
HomeJenayahPPM tahan lelaki bersama organ penyu bernilai lebih RM6,500

PPM tahan lelaki bersama organ penyu bernilai lebih RM6,500

Semporna: Pasukan Polis Marin (PPM) daerah berjaya mematahkan cubaan menjual makanan ekzotik susulan rampasan beberapa organ penyu yang bernilai RM6,500 di Kampung Bangau-Bangau, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM daerah, Deputi Superitendan Mohamad Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan kerana dipercayai memiliki kesemua organ penyu berkenaan tanpa permit yang sah.

“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah perahu yang diikat pada sebuah rumah tidak bernombor mendapati terdapat 25 keping sisik marginal penyu dan 13 keping plastron penyu berada dalam perahu tersebut.”

“Turut dirampas sebuah perahu, dua enjin pam 16 hp, pisau, kapak, tukul dan topeng menyelam.”

“Organ-organ penyu yang dilapah itu dipercayai untuk dijual di pasaran gelap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki hasil hidupan liar tanpa permit yang sah.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk perahu dan enjin dianggarkan sebanyak RM11,565.

Jelas beliau, kes tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan lanjut.

Pada masa yang sama, Mohamad turut menasihatkan komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi Whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197. –Utusan

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular