BEAUFORT: Seorang guru lelaki mengalami kerugian sebanyak RM7,550 selepas tertipu dengan tawaran pembelian duit syiling lama melalui media sosial Instagram.
Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaccob berkata kejadian bermula apabila mangsa yang berumur 36 tahun itu melayari aplikasi Instagram sekitar jam 1.28 tengah hari jumaat lalu, di Menumbok.
Menurut Yusoff, semasa kejadian, mangsa diperdaya oleh penjenayah yang katanya hendak membeli duit syiling lama.
“Mangsa yang diperdaya oleh penjenayah itu kemudian berminat dan berurusan dengan individu yang tidak dikenali itu menggunakan aplikasi Whatsapp.
“Sepanjang berurusan, mangsa turut memindahkan wang berjumlah RM7,550 ke dalam tiga akaun individu yang berbeza.
“Mangsa bagaimanapun menyedari ditipu apabila suspek meminta mangsa untuk menyerahkan data perbankan akaun miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu, mangsa kemudiannya membuat laporan berkenaan perkara tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan menipu tawaran pembelian duit syiling lama melalui aplikasi Instagram.
Siasatan masih diteruskan manakala kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dalam urusan jual beli apa sahaja barangan dan tidak mudah terpedaya dengan pelbagai muslihat licik penjenayah,” katanya. – Utusan Borneo