spot_img
HomeJenayah12 mangsa sindiket tawaran kerja di Kemboja, selamat dibawa pulang

12 mangsa sindiket tawaran kerja di Kemboja, selamat dibawa pulang

Sepang: Seramai 12 daripada 16 warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)) 2 pagi ini.

Ketibaan mereka disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, pada jam 8 pagi tadi.

Menurut Datuk Amran Mohamed Zin, kesemua mangsa itu ditahan oleh pihak berkuasa Kemboja pada 4 April lalu sebelum di bawa ke Phnom Penh pada 7 April lalu untuk disoal siasat.

“Kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa Kemboja menerusi Polis ASEAN (ASEANAPOL) membolehkan kesemua mangsa berjaya dibawa pulang hari ini.”

Bagaimanapun, empat lagi mangsa termasuk tiga lelaki dan seorang wanita tidak boleh dibawa pulang ke tanah air hari ini selepas disahkan positif Covid-19.

Amran berkata, baki mangsa lain akan dibawa pulang ke tanah air selepas tamat tempoh kuarantin tujuh hari di Phnom Penh dan keadaan mereka kini dipantau pihak Kedutaan Malaysia di sana.

“Kami difahamkan, kesemua mangsa ini ditahan di negara itu kerana didapati melakukan kesalahan yang menyalahi undang-undang di Kemboja termasuk terbabit dalam sindiket penipuan (scammer) dan judi dalam talian”

“Kita dimaklumkan bahawa Kemboja telah mengharamkan aktiviti perjudian dalam talian sejak 1 Januari 2020 dan kesemua mangsa ditahan menerusi beberapa operasi bagi membanteras kegiatan itu,” ulasnya.

Sementara itu, Abd. Jalil berkata, pihaknya menerima 35 laporan polis membabitkan 45 rakyat tempatan yang terkandas di beberapa negara termasuk Myanmar, Thai dan Laos setakat ini.

Katanya, pihaknya menasihatkan kepada ahli keluarga dan waris yang berdepan situasi sama supaya membuat laporan segera supaya bantuan segera dapat disalurkan.

Dalam pada itu, Amran berkata, pihaknya menasihatkan rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati untuk menerima sebarang tawaran pekerjaan yang ditawarkan menerusi media sosial.

Katanya, mana-mana rakyat Malaysia yang berminat untuk mendapatkan pekerjaan di luar negara supaya menyemak dengan kedutaan Malaysia di luar negara terlebih dahulu.

Terdahulu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong mendedahkan 16 rakyat tempatan menjadi tawanan sindiket penipuan antarabangsa di Kemboja sebelum dipaksa menjadi ‘scammer‘.

Mangsa mendedahkan mereka sebelum ini diumpan sindiket untuk bekerja sebagai operator tele pemasaran dan perkhidmatan pelanggan di Kemboja dengan tawaran gaji lumayan.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular