Kota Kinabalu: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kembali menganjurkan Kejohanan Hoki B16 Kebangsaan Lelaki dan Perempuan, pada 15 hingga 25 Jun 2022, selepas dua tahun kejohanan tersebut tidak dapat dianjurkan ekoran penularan wabak Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh, memaklumkan penyertaan daripada 14 buah negeri sekaligus menyaksikan 28 pasukan (14 pasukan lelaki dan 14 pasukan perempuan) akan merebut gelaran juara bagi kategori lelaki dan perempuan musim 2022.
Katanya, KHM telah mendapat kebenaran daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menganjurkan kejohanan yang melibatkan penyertaan daripada murid sekolah itu.
“Kejohanan ini akan berlangsung bukan dalam minggu cuti sekolah kerana tarikh ketika cuti sekolah telah diisi dengan kejohanan di bawah Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP).
“Namun apa yang penting untuk kami, kebenaran yang telah diterima daripada KPM untuk kejohanan dilangsungkan tidak akan menjadi masalah sama ada kejohanan berlangsung pada minggu cuti persekolahan atau tidak,” jelas beliau.
“Berita baik, perbelanjaan kejohanan kali ini akan ditaja sepenuhnya oleh pihak MHC termasuk pengangkutan & penginapan sepanjang perlawanan”
“Melalui kesempatan inilah kita dapat mencungkil bakat pemain baharu pada masa akan datang.” Tambahnya lagi.